Pengenalan

KARISMA

Assalamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh

Nastaghfirullah! Alhamdulillah syukur pada Allah. Selawat dan salam sayang buat Rasul junjungan Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam. Akhirnya Organisasi Karisma Melaka wujud secara rasminya setelah kian lama bercambah dibumi bersejarah.

Mesyuarat dan perjumpaan penubuhan Karisma Melaka telah diadakan pada 6 Oktober 2007 Masihi bersamaan 25 Ramadhan 1428 Hijrah. Perjumpaan tersebut telah diadakan di Masjid Selat Melaka, Pulau Melaka pada jam 10.30 pagi. Dihadiri seramai hampir 15 orang termasuk ahli JIM IPT Melaka. Ikhwah dan akhwat yang hadir adalah dari sekitar kawasan tumpuan dan utama di Melaka iaitu dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Teknologi MARA Melaka (UiTM Kampus Bandar Melaka) dan Universiti Teknologi MARA Melaka (UiTM Lendu).

Majlis dimulakan dengan bacaan Ummul Quran, Al Fatihah dan Tilawatul Quran pada Surah An Nisa’ ayat 94-96. Kata-kata aluan dan mutiara pembakar semangat juang telah disampaikan oleh Pengerusi JIM IPT Melaka, berkisar perlunya usaha pentarbiyyahan dalam struktur yang tersusun dan terancang untuk memikul tanggungjawab dakwah dalam masyarakat. Diingatkan juga bahawa pemuda pemudi dalam lingkungan mahasiswa remaja wajib mengutamakan pendidikan di samping tidak meminggirkan usaha pengislahan diri dan masyarakat sekeliling. Hebat dunia, hebat akhirat.

Karisma Melaka adalah cawangan KARISMA meliputi hampir kesemua IPT awam & swasta di Melaka. Ia rumpun dari KARISMA yang mempunyai kepanjangan, Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia yang berpusat di Bandar Melawati. Karisma telah berdaftar secara sah di bawah pendaftaran JIM (Jamaah Islah Malaysia) dan diserapkan pada Jawatankuasa Institut Pengajian Tinggi JIM (JIM-IPT).

Bergerak dengan aspirasi dakwah dan tarbiyah di bumi Melaka, dan dengan asas kefahaman pengerakan melalui saff jamaah yang tersusun, maka atas maksud dan tujuan ini, terbentuklah struktur bagi KARISMA Melaka sebagai berikut:

Majlis Tertinggi:

Pengerusi
Timbalan Pengerusi
Setiausaha
Penolong Setiausaha

Jawatankuasa:

JK Tarbiyyah & Pembangunan Sumber Manusia
JK Sukan & Rekreasi
JK Dana & Kebajikan
JK Media & Dakwah

Berasaskan Surah Hud ayat 88, Karisma telah ditubuhkan secara rasminya pada 2 Mei 1999 dengan dedikasi dapat membawa mesej kesedaran bahawa golongan mahasiswa merupakan golongan terpelajar yang mampu menjadi anasir pembaharuan ke arah kebaikan (islah) dengan membawa mesej Islam kepada masyarakat umum dengan berkesan.

Karisma bertindak berteraskan objektif penubuhannya iaitu berazam melahirkan dan membimbing generasi pemimpin di kalangan mahasiswa, dan menggerakkan penglibatan mahasiswa dalam proses pengislahan masyarakat serta mewujudkan ruang permuafakatan dan kerjasama yang seluas-luasnya dengan semua pihak. Begitu penerangan ringkas mengenai Karisma Melaka khususnya dan KARISMA amnya [1].

[1] Maklumat lanjut boleh layari di laman ini , klik sini.

[Pesanan]: Segala maklumbalas dapat ditujukan pada Hubungan.




%d bloggers like this: