Ramai Mahasiswa Abai Hak Mengundi

19 02 2008

Artikel tarikh 19 Februari 2008

MAHASISWA adalah komuniti insan yang menghampiri kematangan dalam menghadapi realiti alam ini walaupun kadang-kadang ia cuba berlagak matang. Kita perlu menghargai kesungguhan mereka menghadapi masalah dengan berlagak matang.

Sebagai anak muda, sifat radikal dan memberontak diselang-seli dengan sifat keanak-anakan. Ini lumrah mahasiswa yang menjadi sebahagian daripada masyarakat bernegara. Setiap fenomena yang berlaku di negara ini akan turut dirasai mahasiswa.

Adalah menjadi hak mahasiswa untuk menuruti setiap perkara melalui wadah yang disukai mereka sama ada demonstrasi, debat atau menulis. Ini adalah perjuangan mahasiswa di sebalik sifat separa matang mereka.

Risiko perjuangan perlu disahut juga, diteruskan mahasiswa tanpa manja kerana dalam berjuang bukan hamparan permaidani merah yang menunggu, bukan tilam lembut indah mengiring tetapi onak yang sedia menanti untuk mengiringi hingga ke akhir hari.

Pada zaman awal gerakan mahasiswa terbabit dalam demonstrasi Tasek Utara, Johor dan Baling menunjukkan kepekaan terhadap isu rakyat. Bahkan mereka antara tenaga yang menjayakan demonstrasi itu.

Kini, keadaan negara ini semakin mencabar sama ada dalam bidang sosial, politik dan ekonomi. Kita perlu bangkit menyahut cabaran yang mendatang ini dengan diri yang sentiasa bersedia dari segi ‘jasadiah’ mahupun ‘ruhiyyah’.

Gerakan mahasiswa yang selama ini dikenali jurubicara rakyat haruslah diperkasakan dan janganlah terus terperuk berpeluk tubuh, tunduk takut pada bayang-bayang sendiri. Demam kehangatan pilihan raya sudah dirasai, gendang pilihan raya kuat dipalu, manifesto dan kempen tidak lama lagi menjadi panas dengan kreativiti dan pembawaan masing-masing untuk memikat hati pengundi.

Namun, persoalannya sejauh manakah mahasiswa yang layak untuk mengundi menggunakan peluang yang terhidang itu untuk memilih pemimpin dan kerajaan yang sesuai untuk mengemudi negara tercinta kita atau adakah kita ini termasuk dalam golongan orang yang hanya hebat dalam berbicara, manis dalam berhujah, berdentum semangat berapi kata-kata tetapi daftar pemilih pun belum?

Sebagai mahasiswa yang sudah meniti alam perjuangan di kampus sepatutnya mereka cukup dewasa untuk menilai siapakah dan pembawaan bagaimana yang terbaik untuk diri, bangsa dan agama. Terpulang kepada mereka untuk memilih pemimpin yang akan memandu negara ke arah pembentukan peribadi Muslim untuk individu, keluarga, masyarakat di setiap kawasan sehinggalah terbuktinya keindahan dan keadilan sebuah kerajaan.

Tetapi persoalannya bagaimana hendak memetik bintang yang indah pada pandangan mata jika 80 peratus daripada 4.9 juta rakyat yang layak mengundi masih belum mendaftar sebagai pengundi adalah terdiri daripada golongan belia?

Mahasiswa terikat dengan Akta Universiti Dan Kolej Universiti (Auku) yang melarang mahasiswa daripada memberikan sokongan, komitmen atau menyokong mana-mana parti politik seperti tertera dalam Seksyen 15 (1), (2), (3) dan (4), harus difahami dengan jelas bahawa terbabit dengan politik yang dilarang dan bukannya melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi.

Kita harus jelas bahawa mengundi tanggungjawab setiap yang bergelar warga negara apatah lagi sebagai mahasiswa yang mendukung perubahan.

Jangan juga asyik bermimpi indah pangkah undi, lipatan kertas di kotak lutsinar, gemuruh jiwa bagi yang keluar mengundi kali pertama kerana peperiksaan akhir semester di IPT semakin dekat. Maka, bersamalah siapkan diri, kita tunjukkan mahasiswa kini mampu berjaya dalam bidang akademik mahupun kokurikulum.

Pasti kudrat diperah lebih kerana kita ingin menyerlah jauh daripada yang biasa kerana kita dalam berjuang. Ingat undi kita tetap rahsia, pelajaran kita jangan dipersia.

EL-AMERN MDS,
Pengerusi K-Melaka,
Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (KARISMA), Melaka.


Tindakan

Information

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s




%d bloggers like this: