Untuk Mu Palestin

24 01 2008

Assalamulaikum wa rahmatullahi wa barakatuh

 

Tuan-tuan & puan-puan, para peminat Mutiara FM yang saya dimuliakan. Lagi sekali Dr Danial bersama-sama dengan anda pada pagi yang permai ini. Pada pagi ini, ingin saya menyatakan pada kita bersama bahawa salah satu model atau contoh tentang golongan manusia yang bermotivasi tinggi atau Highly Motivated People. Bagi saya golongan yang boleh kita contohi itu ialah rakyat Palestin. Mereka ditindas, dipijak, dihina, diperkosa dan sebahagian daripada mereka dibunuh sejak tahun 1948 apabila rejim israel diberikan tanah dan di situ mereka menegakkan negara baru yang bernama Israel.

Sejak itulah rakyat Palestin yang sebahagian daripada mereka merupakan orang-orang islam tidak pernah hidup dalam keamanan. Hak asasi mereka yang paling asas pun tidak dapat mereka perolehi. National Geographic memaparkan suatu ketika dahulu bahawa hendak memperbaiki rumah sendiri pun tidak diizinkan. Begitu sekali keadaan mereka sehingga kehari ini. Malah pada hari ini keadaan mereka menjadi lebih teruk daripada sebelum ini dengan serangan-serangan di Gaza dan seumpamanya yang berlaku pada hari ini.Mereka tidak pernah berputus asa. Mereka tidak kenal erti kekecewaan seolah-olahnya dalam kamus mereka tidak ada kalimat putus asa dan kecewa. Dalam kamus mereka dipenuhi dengan kalimat pengorbanan dan perjuangan, usaha, ikhtiar, harapan, tawakkal dan istiqamah. Anak-anak muda mereka hidup dengan misi yang jelas tidak seperti sebahagian daripada anak-anak muda kita yang terkinja-kinja sehingga larut malam. Tidak mahu belajar, memberi perhatian kepada perkara yang serius dan idola mereka ádalah artis-artis yang terkinja-kinja. Pemuda dan pemudi Palestin tidak boleh berkelakuan seperti itu. Hidup mereka mempunyai misi yang jelas iaitu perjuangan untuk membebaskan diri mereka daripada cengkaman kuku besi dari pihak rejim israel.Lantas pada hari ini bila kita membaca dan melihat di kaca tv tentang penderitaan mereka, bolehkah kita tidur dengan aman.

Bila saya melihat kisah mereka, saya telah menceritakan kepada anak-anak saya, saya berkata “Inilah contoh bagi kamu. Artis-artis itu bukan contoh bagimu. Rakan-rakan kamu juga bukan contoh bagimu. Contoh bagimu adalah anak-anak muda Palestin yang berjuang tanpa mengenal putus asa”. Tuan-tuan dan puan-puan yang dimuliakan. Kita perlu membantu mereka dengan semampu yang boleh. Sudah pastinya bukan dengan senjata. Tetapi mungkin dengan wang. Jika ada ruang salurkan bantuan anda kepada mereka yang bermotivasi tinggi ini yang berjuang demi mempertahankan agama dan tanah air. Sebab itu pada hari ini disamping saya bersedih dengan keadaan mereka, saya tidak mahu bersedih sekadar komen dan menuturkan kalimat kesedihan. Saya hendak membantu mereka paling kurang dengan doa dan wang yang sedikit sebanyak yang ada pada saya untuk saya salurkan kepada mereka mengikut saluran-saluran yang sah. Saya mengharapkan jika anda mempunyai hati, jiwa, otak, perasaan dan sedikit semangat perjuangan, jangan lupa berdoa untuk mereka yang bermotivasi tinggi ini dan juga jangan lupa untuk memberi sedikit sebanyak rezeki yang ada pada diri anda mengikut saluran yang sah untuk membantu mereka pada hari ini.

Selepas saya menceritakan tentang mereka yang bermotivasi tinggi ini di Palestin saya lebih bersedih hati bila melihat anak-anak muda kita di Malaysia. Lebih-lebih lagi bila perbincangan kita merupakan perbincangan tentang isu-isu yang sebenarnya tidak menguntungkan kita sedikit pun. Seminggu dua ini dimana saja saya pergi orang akan bercakap tentang artis putus tunang dan seorang artis perempuan yang akan berkahwin besar. Media masa kita meletakkan kisah ini di muka depan akhbar. Ada lintas langsung pula dibuat untuk pengistiharan tarikh perkahwinan mereka.

Ada pula artis mengisytiharkan bahawa gaunnya berjumlah puluhan ribu. Subhanallah, subhanallah, subhanallah. Artis nak berkahwin silakan. Nak putus tunang pun silakan. Perlukah kita gahkan semua ini berdepan dengan rakyat Palestin, umat Islam di Afghanistan, Iraq yang tidak dapat menjamah makanan. Jangankan nak membeli gaun puluhan ribu, nak makan setiap hari pun belum tentu ada makanan untuk mereka. Kita ceritakan tentang artis-artis dengan kisah-kisah seperti ini, minta maaf tuan-tuan dan puan-puan kadang kala saya merasakan menyampah dengan kisah-kisah ini. Minta maaf sebab kita sebenarnya kadangkala bercakap tentang perkara yang tidak boleh menjadikan kita cemerlang, gemilang dan terbilang.Adakah kisah artis-artis ini jika dicontohi boleh menjadikan kita insan kelas pertama seperti yang dilaung-laungkan oleh pimpinan negara kita. Pimpinan negara kita mahukan kita menjadi golongan minda kelas pertama dan adakah kisah-kisah artis ini boleh menjadikan anda, kita dan anak kita golongan kelas pertama. Fikir-fikirkanlah. Pedih sedikitkan tuan-tuan dan puan-puan. Tetapi kebenaran sentiasa pedih pada hari ini.

Allah swt dalam surah Ali-Imran ayat 110 menegaskan,

Kuntum khaira ummatin ukhrijat linnas. Tak muru nabilmakruf watan hau na anil munkari watukminu nabillah. Kamu merupakan sebaik-baik umat yang Allah keluarkan bagi manusia dengan syarat kamu mengajak kepada makruf dan kamu mencegah kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah.

Itulah 3 agenda yang akan menjadikan kita cemerlang, gemilang dan terbilang. Menjadikan kita rakyat Malaysia golongan kelas pertama. Kita tidak lupa untuk mengajak kepada makruf dan tidak lupa mencegah mungkar dan kita beriman kepada Allah dan menghayati konsep iman. Itulah yang perlu sama-sama kita lakukan insyaallah. Semoga perjuangan rakyat Palestin menjadi satu iktibar kepada kita agar kita menjadi golongan yang tidak mengenal erti kekecewaan dan putus asa dalam hidup. Ceritakan kepada anak-anak kita tentang perjuangan mereka. Semoga insyaallah kita akan cemerlang, gemilang dan terbilang insyaallah.

 

Dari Dr Danial bin Zainal Abidin dalam ruangan Motivasi Mutiara pada 25 Julai 2006, hari Selasa jam 7.30 pagi di Mutiara FM pulau Pinang 95.7 mhz.

gb_logo.png


Tindakan

Information

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s




%d bloggers like this: