Tawar Kepada yang Cemerlang

15 01 2008

Bismillahir Rahmanir Raheem

Surat 2 – Bahagian Forum

PEMBANGUNAN negara yang pesat telah menyebabkan jumlah graduan yang lulus daripada pusat-pusat pengajian tinggi bertambah dari semasa ke semasa. Dan seperti kebiasaan, graduan-graduan muda ini memerlukan pekerjaan selepas menerima ijazah masing-masing.

Bagaimanapun cabaran yang dihadapi graduan-graduan muda ini ialah apabila mendapati peluang pekerjaan tidaklah semudah dahulu yang mana peluang pekerjaan telah sedia menanti mereka.

Keadaan ini diburukkan lagi dengan bilangan universiti tempatan termasuk swasta yang semakin bertambah yang telah menyebabkan lambakan graduan muda tetapi dengan ruang pekerjaan yang terhad.

Sehubungan itu, Cadangan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) untuk melanjutkan tempoh perkhidmatan kakitangan awam perlu diberi perhatian supaya ia tidak menjadi penyumbang kepada peningkatan jumlah pengangguran di kalangan graduan-graduan muda di negara ini.

Cadangan CUEPACS ini memerlukan kajian yang mendalam dan tidak perlu dilaksanakan dengan kadar yang segera kerana ia akan membabitkan masa depan graduan-graduan muda yang penuh bersemangat untuk menyumbang kepada pembangunan negara.

Cuba bayangkan jika usia persaraan kakitangan awam dilanjutkan dari 56 tahun ke 60 tahun, ini bererti graduan-graduan muda memerlukan sekurang-kurangnya empat tahun lagi sebelum berpeluang untuk mengisi pekerjaan yang kosong di jabatan-jabatan kerajaan.

Ini secara tidak langsung akan menutup peluang graduan-graduan muda untuk memohon jawatan di sektor awam malah merentap semangat dan potensi graduan-graduan muda yang bersemangat untuk menyumbang kepada negara dengan ilmu dan kebolehan yang mereka pelajari.

Memang benar pengalaman yang diperoleh oleh kakitangan kerajaan yang telah lama berkhidmat di sektor awam sungguh berharga dan dapat membantu menyumbang ke arah pencapaian matlamat sesuatu organisasi itu.

Tetapi persoalannya ialah sampai bila khidmat kakitangan kerajaan ini harus diteruskan? Bagaimana pula peluang orang-orang muda?

Mereka ini (graduan muda) juga perlu diberikan peluang untuk melaksanakan teori-teori yang dipelajari di universiti untuk diaplikasikan dalam perkhidmatan di sektor awam.

Mereka juga mungkin mempunyai pelbagai pendekatan baru yang lebih kreatif dan inovatif dalam mengendalikan sesuatu perkara sesuai dengan peredaran masa yang menuntut lebih cabaran dan kesungguhan.

Pelantikan kakitangan perkhidmatan awam daripada golongan graduan muda perlu diteruskan supaya mereka mendapat pendedahan awal bagi menimba pengalaman untuk berbakti kepada negara.

Saya percaya kakitangan kerajaan yang sudah lama berkhidmat juga telah menjalani pekerjaan pada peringkat permulaan dalam keadaan yang sama. Dan peluang yang diberikan kepada mereka telah menjadikan mereka berpengalaman seperti sekarang.

Sehubungan itu, kerajaan juga sepatutnya memberi peluang yang sama kepada graduan-graduan muda untuk menimba pengalaman.

Kita tidak harus sewenang-wenangnya menjadikan negara-negara lain sebagai bahan rujukan kita dalam menganalisis relevan atau tidak tempoh perkhidmatan kakitangan awam dilanjutkan.

Contohnya, walaupun Singapura meletakkan umur persaraan kakitangan awamnya pada 62 tahun tetapi republik itu mempunyai jumlah masyarakat berumur yang ramai.

Sudah tentu keadaan di negara itu tidak sesuai jika dibandingkan dengan negara ini.

Oleh itu, saya menggesa kerajaan supaya mengkaji semula cadangan CUEPACS untuk melanjutkan tempoh perkhidmatan kakitangan awam, lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang di mana negara dibelenggu dengan isu lambakan graduan-graduan muda.

Saya juga berharap kerajaan tidak akan mensia-siakan tenaga graduan muda yang berpotensi, lebih-lebih lagi dalam usaha negara untuk mencapai objektif negara maju pada tahun 2020.

EL-AMERN MDS,

Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (KARISMA)


Tindakan

Information

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s




%d bloggers like this: