Sikap dan Kualiti Pejuang: Antara Ketaatan dan Proaktif

7 01 2008

Assalamualaikum wa rahmatullah

Pendahuluan

Tugas dakwah merupakan tanggungjawab yang ditaklifkan kepada semua umat Islam. Dakwah merupakan jalan utama untuk mencapai kejayaan di sisi Allah Subhanahu wa Taala. Firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 104 yang bermaksud:

Dan hendaklah ada di kalangan kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada makruf dan mencegah daripada mungkar dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.

Ayat di atas juga mengisyaratkan kepada kita bahawa tugas dan tanggungjawab dakwah ini perlu dilakukan secara berjamaah dan tidak secara berseorangan. Bekerja secara berjamaah menuntut kita bekerja dalam satu pasukan, mempunyai etika kerja berpasukan serta disiplin organisasi yang tinggi.

Firman Allah dalam surah As Saff ayat 4 yang bermaksud:

Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berperang di jalanNya dalam barisan yang teratur seolah-olah mereka seperti bangunan yang tersusun kukuh.

Bandingan yang Allah lakukan di sini amat jelas betapa suatu tanzim atau organisasi yang kuat dan berdisiplin tinggi amat diperlukan bagi menggerak dan menjayakan perjuangan ini.

Ketaatan

Ketaatan adalah suatu perkara yang penting dalam menjayakan perancangan sesuatu organisasi. Ketaatan kepada Allah dan Rasulullah Sallallahualaihi wa sallam serta kepada pimpinan adalah antara pra-syarat untuk sesuatu organisasi dapat memiliki tanzim yang kuat. Bagi saya, ketaatan bukanlah sangat kepada peribadi pemimpin sebagai seorang individu. Tetapi yang lebih penting ialah ketaatan kepada setiap keputusan yang telah disyurakan di semua peringkat dalam suatu organisasi tersebut.

Ketaatan amat diperlukan untuk menjayakan keputusan-keputusan yang telah dicapai, termasuklah keputusan yang dibuat dalam majlis yang kita hadir! Amat pelik jika kita sendiri tidak menjayakan keputusan yang kita buat secara bersama, samada di peringkat pusat mahupun diperingkat cawangan negeri dan daerah yang mana kita telah menjadi ahlinya.

Syura

Syura merupakan amalan yang sangat asas dalam gerakan dakwah mahupun konsep perniagaan. Bagi saya, ia ibarat jantung yang mengepam darah bagi memastikan perjalanan organisasi berjalan lancar dan aktivisme dakwah terus segar dan tumbuh subur serta melonjak dengan momentum yang kuat.

Inilah yang patut kita amalkan dalam membincangkan hal-hal penting dalam organisasi dan memandu organisasi dengan lebih laju ke hadapan.

Proaktif

Hak semua aktivis untuk diminta pandangan mesti ditunaikan oleh pemimpin. Ruang perbincangan dan sikap pintu terbuka mesti diamalkan oleh pimpinan segenap peringkat. Inilah amalan kita termasuk Presiden organisasi.

Di samping itu, hak aktivis dan ahli untuk memberikan pandangan mestilah dimanfaatkan sebaiknya. Malah, ia bukannya semata-mata suatu hak tetapi juga suatu tanggungjawab. Tanggungjawab untuk menasihati pimpinan, tanggungjawab untuk menyumbangkan idea dan memberikan input yang bernas untuk organisasi.

Pimpinan bukanlah ma’sum (tiada dosa). Mereka mungkin yang terbaik buat masa ini untuk memimpin tetapi mereka bukanlah ‘Superman’ yang tahu segala-galanya. Kita semua adalah peneroka bagi zaman kita. Kita menebas lalang dan menebang pokok bagi membuat jalan untuk terus maju ke hadapan. Kita membuat keputusan berdasarkan ilmu dan pengalaman yang ada yangtentunya mempunyai keterbatasannya. Pandangan daripada aktivis akan amat membantu.

Sikap proaktif inilah yang amat diperlukan oleh organisasi kita. We have the best brains in so many areas. Namun, kita masih belum dapat megoprimakan manfaat daripada ‘the best brains’ ini untuk dakwah.

Antara Ketaatan dan Proaktif

Sifat taat untuk melaksanakan perintah Allah dan rasul dan keputusan organisasi adalah sifat yang amat dituntutu. namun seringkali aktivis dakwah mengambil pendekatan ‘kami hanya orang bawah…kami akan taat apa sahaja yang diputuskan oleh pimpinan…’ Bagi aktivis ‘badwi dan ‘a’rabi’, sikap ini mungkin boleh diterima.

Namun bagi mereka yang lain, ini merupakan sikap orang malas dan kurang bertanggunjawab. Sikap taat yang tidak didahului dengan usaha untuk menunaikan hak dan tanggungjawab memberikan pandangan dan buah fikiran bagi saya bukanlah suatu sikap yang terpuji.

Lebih mendukacitakan, mereka ini seringkali tidak dapat menyempurnakan ketaatan keputusan organisasi kerana kurang memahami konteks keputusan itu dibuat ataupun kurang komited keran atidak terlibat dalam proses membuat keputusan tersebut.

Contoh proaktif Salman Al Farisi radiallahuanhu dalam menyarankan kepada Rasulullah untuk membuat parit dalam Perang Khandak sudah cukup untuk mengajar kita betapa pentingnya kita ‘memerah otak dan pemikiran untuk berfikir’, ‘What is the best strategy to move forward?’.

Namun sikap proaktif ini mestilah disertai dengan ketaatan apabila keputusan telah dibuat. Ketaatan untuk menjayakan apa yang telah kita putuskan. Kita juga sering bertemu dengan aktivis yang sangat proaktif memberi saranan tetapi lemah pula dalam menjayakan keputusan syura.

Aktivis yang kita mahu lahirkan adalah yang proaktif menyumbangkan buah fikiran dan kuat bekerja melaksanakan keputusan organisasi!

Penutup

Meskipun ramai yang mungkin merasakan bahawa penulisan saya ini adalah dalam konteks saranan kemajuan sesebuah organisasi sahaja…benar, namun apa yang dinukilkan ini tidak terhad untuk itu.

Ia amat penting diaplikasikan dalam menggerakkan organisasi di semua peringkat. Syura, ketaatan dan sikap proaktif ahli inilah yang akan menghidup suburkan dan menggerakkan organisasi kita dalam memimpin perubahan ke arah penegakan syariat, insyaAllah.

Penulis: Haji Nahar bin Md. Nor adalah Setiausaha Agung JIM sesi 2005-2007 dan memegang portfolio Pembangunan Negeri dan Daerah. Beliau juga adalah seorang akauntan bertauliah yang berkhidmat di sebuah syarikat swasta.

Baca juga:


Tindakan

Information

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s




%d bloggers like this: