Lanjut Bersara Sekat Peluang Graduan Muda

7 01 2008

Bismillahir Rahmanir Raheem

Bahagian Rencana

PADA era pembangunan negara perindustrian, secara tidak langsung menggalakkan berlakunya proses urbanisasi dalam negara kita. Ia ditambah pula dengan kadar kelahiran yang meningkat dan jumlah penduduk yang terus meningkat, melahirkan pelbagai stigma masyarakat.

Ada kesan positif dan tidak kurang pula kesan negatif yang turut berlaku. Dalam keadaan pembangunan yang pesat, setiap tahun juga bertambahnya jumlah lepasan universiti dan mula menjinakkan diri dalam bidang pekerjaan.

Namun, untuk mendapat kerja tidak semudah suatu masa dulu iaitu peluang pekerjaan sudah sedia menanti. Dengan bilangan universiti kerajaan, swasta, kolej universiti, institusi pengajian dan banyak lagi, melambakkan jumlah graduan muda.

Pada masa sama, ruang kerja agak terhad dalam sektor kerajaan mahupun swasta ditambah pula dengan saingan daripada graduan luar negara.

Sehubungan itu, cadangan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) untuk melanjutkan tempoh perkhidmatan kakitangan awam perlu diberi per-hatian agar ia tidak dilaksanakan dengan kadar segera.

Cadangan itu, memerlukan kajian yang cukup mendalam kerana lanjutan usia persaraan daripada 56 ke 60 tahun akan merentap semangat dan potensi graduan muda yang menanti untuk menyumbang kepada negara dengan ilmu, kesungguhan dan kepantasan ‘orang muda’ yang dimiliki.

Memang benar pengalaman yang diperoleh anggota kerajaan sedia ada selama berkhidmat dalam sektor awam dapat membantu menyumbang ke arah mencapai matlamat sesuatu organisasi itu, tetapi harus difikirkan bahawa sampai bila ‘orang muda’ ini perlu menunggu.

Golongan muda ini masih lagi panas dengan teori dipelajari yang hanya menanti masa untuk diaplikasikan dan mungkin dengan pelbagai pendekatan baru yang lebih kreatif dan inovatif dalam mengendalikan sesuatu perkara, sesuai dengan peredaran masa serta zaman yang menuntut lebih cabaran dan kesungguhan.

Pelantikan anggota perkhidmatan awam masa ini yang lebih kepada mereka yang bersemangat muda dan baru keluar universiti perlu diteruskan dan perlu diberikan pendedahan lebih awal untuk membiasakan mereka dengan persekitaran serta ruang lingkup kerja yang baru.

Walaupun ada pihak menyatakan majoriti anggota yang memasuki perkhidmatan awam adalah dalam umur 23 hingga 25 tahun yang masih ‘hijau’ pengalaman, tetapi jika tidak diberikan ruang dan peluang pada peringkat awal ini sampai bila ‘hijau pengalaman’ itu hendak berubah menjadi warna lain.

Sudah tentu anggota kerajaan yang sudah lama berkhidmat ini pada peringkat permulaan mereka bekerja turut berada dalam keadaan sama, tetapi dengan ruang serta peluang diberikan kepada mereka, menjadikan mereka berpengalaman seperti sekarang.

Sepatutnya kerajaan perlu mengambil langkah lebih drastik untuk memberikan pendekatan kepada graduan muda ini pendedahan ketika mereka masih belajar dengan penempatan di sektor kerajaan.

Ia boleh dilakukan ketika mereka melakukan ‘latihan praktikal’ yang dilaksanakan oleh IPT di negara kita untuk memberikan pengalaman bekerja. Jika sudah mengikuti latihan praktikal atau latihan industri ini sudah tentu graduan muda ini mempunyai pengalaman dalam bidang diceburi dan tidak perlu lagi mengambil masa lama untuk penyesuaian.

Malah, kita juga tidak boleh sewenang-wenangnya menjadikan negara lain sebagai titik rujukan kita dalam menganalisis relevan atau tidak tempoh perkhidmatan kakitangan awam untuk dinaikkan ke 60 tahun atau lebih.

Contohnya, Singapura walaupun mempunyai faktor demografi hampir sama dengan Malaysia meletakkan umur persaraan pada 62 tahun tetapi harus diingat bahawa di negara mereka, lebih ramai jumlah masyarakat yang berumur remaja dan belia yang agak kurang jika hendak dibandingkan dengan keadaan di Malaysia.

Oleh itu, maka cadangan Cuepacs untuk melanjutkan tempoh perkhidmatan kakitangan awam adalah satu cadangan yang kurang menarik dalam keadaan sekarang dan perlu dilakukan kajian yang mendalam dengan mengambil kira suara dan pandangan semua pihak.

Ibn Sultan,
Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (Karisma),
Melaka.


Tindakan

Information

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s




%d bloggers like this: