Ke Arah Fikrah Dominan Alam Kampus

31 12 2007

Assalamu’alaikum wa rahmatullah

Fikrah Islam Dominan Alam Kampus (FIDAK)

SENARIO GLOBAL

Saudara-saudara seperjuangan yang dikasihi Allah,

Sebagai umat Islam dan lebih-lebih lagi sebagai generasi penggerak dakwah, pengamatan kepada perkembangan antarabangsa dan mengambil tahu khabar saudara-saudara kita di seluruh dunia menjadi tuntutan kepada kita. Memahami senario gobal, menganalisis cara pemikiran barat, memahami gaya perjuangan antarabangsa, pasti ada sesuatu yang boleh kita pelajari.

Sabda Rasulullah s.a.w. :

Sesama muslim itu bersaudara. Oleh sebab itu, jangan menganiaya dan jangan mendiamkan. Siapa saja yang memperhatikan kepentingan saudaranya, Allah akan memperhatikannya. Siapa saja yang melapangkan satu kesulitan sesama muslim, niscaya Allah akan melapangkan satu kesulitan dari beberapa kesulitannya pada hari kiamat. Siapa saja yang menutupi kejelakan seorang muslim Allah akan menutupi kejelekannya pada hari kiamat. (HR.Bukhari dan Muslim)

Senario antarabangsa menunjukkan beberapa perkembangan menarik di sepanjang tahun 2007. Kemenangan parti AKP di Turki menjadi salah satu tajuk perbincangan hangat di kalangan pemerhati politik antarabangsa. Perkembangan ini juga tidak terlepas dari pemerhatian para aktivis dakwah termasuk di Malaysia. Kemampuan parti Islam ini untuk memenangi hati rakyat di sebuah negara sekular menjadi antara sebab mengapa ia menjadi antara topik hangat perbualan antarabangsa.

Pertukaran tampuk pimpinan di Britain juga menjadi antara berita utama yang memeriahkan kalendar tahunan. Kemampuan Tony Blair mengubah parti buruh menjadi parti pilihan rakyat Britain dikagumi ramai orang. Cuma, di bawah kepimpinan baru ini, adakah sekutu Amerika Syarikat ini masih terus mampu meraih sokongan rakyat lantaran kegagalan misi keamanan antarabangsa anjuran Amerika Syarikat yang mendapat sokongan Tony Blair sebelum ini. Dosa Tony Balir kini, terpaksa ditanggung oleh Presiden baru, Gordon Brown. Dan sehingga kini, nampaknya taring Gordon Brown tidak setajam taring Tony Blair.

Namun begitu, keadaan di Iraq dan Palestin masih lagi sama. Rakyat di Iraq masih lagi tertindas oleh tentera penjajah. Pergaduhan sesama muslimin semakin membimbangkan. Pertentangan puak sunni-syiah masih tiada kesudahan. Amerika, sekali lagi terus ketawa melihat gelagat umat Islam, bergaduh sesama sendiri.

Dalam masa yang sama, bumi suci Palestin masih terus dijajah dan rakyatnya terus dizalimi. Sengketa Hamas dan Fatah terus berlarutan. Mahmoud Abas yang dilihat hanya menjadi boneka Amerika Syarikat kini menjadi duri dalam daging bagi rakyat Palestin. Adakah Mahmoud Abas tidak mahu belajar dari kesilapan lalu Yasser Arafat? Kerajaan HAMAS pilihan rakyat terus dinafikan hak untuk memimpin. Yang terbaru, persidangan Annapolis menjadi pertaruhan terbaru Mahmoud Abas yang kononnya mahu menjadi watak hero dalam pembebasan Palestin. Namun, kita kenal benar permainan Israel dan sekutunya, Amerika Syarikat. Perjanjian damai kali ini dilihat lebih membahayakan apabila melibatkan hak rakyat Palestin. Entahlah, apa pula permainan mereka selepas ini. Dalam hal ini, kita akan terus memberikan sokongan kepada saudara seperjuangan kita di Palestin dalam apa jua bentuk mengikut kapasiti kita. Usaha-usaha menyalurkan bantuan kewangan akan kita teruskan melalui kempen-kempen yang diadakan. Kempen kesedaran Palestin akan terus diperhebat. Serta doa yang tidak akan putus, insya Allah.

Dan kini, setelah Palestin, Afghanistan dan Iraq… adakah Iran akan menjadi sasaran kekejaman Amerika Syarikat yang seterusnya? Jika ya, sudah pasti Amerika Syarikat akan bertemu lawan mereka yang sebenar. Sebagai umat Islam, kita perlu terus memberi sokongan kepada saudara-saudara kita dan memberi tekanan kepada musuh.

Juga tidak kita lupakan juga saudara-saudara kita yang juga memerlukan sokongan kita di seluruh dunia seperti di Moro, Mindanao, dan Selatan Thailand. Sesungguhnya ukhwah Islamiyyah ini tidak mengira sempadan.

SENARIO TEMPATAN

Saudara dan saudari yang dirahmati Allah,

Tahun ini merupakan tahun yang istimewa buat seluruh rakyat Malaysia apabila tarikh 31 Ogos 2007 yang lalu menandakan kemerdekaan negara kita yang ke-50. Kehangatan sambutan dirasakan sejak awal tahun lagi apabila pelbagai kempen dan promosi berlangsung sempena sambutan ini. Namun, adakah usia kemerdekaan ini menggambarkan tahap kemerdekaan sebenar rakyatnya? Pemikiran, budaya serta gaya hidup jelas masih dijajah oleh penjajah. Kita masih lagi belum berani untuk berbangga dengan produk Malaysia. Budaya masyarakat terutamanya para muda mudi jelas tidak lagi menampakkan ciri ketimuran. Pakaian menjolok mata. Pergaulan tanpa batasan antara lelaki dan perempuan menjadi satu budaya yang biasa. Berpelukan di khalayak ramai sudah menjadi satu bentuk ekspresi kebebasan individu.

Tahun ini juga negara digemparkan dengan berita-berita yang menyentuh hati seluruh rakyat Malaysia. Antara yang paling besar ialah kes pembunuhan kejam seorang kanak-kanak di lembah klang. Negara seperti tidak lagi selamat. Itu belum lagi ditambah dengan kes-kes rogol, pembunuhan, samun, culik yang saban hari tersiar di dada akhbar perdana Malaysia. Bilakah agaknya kebejatan moral sebegini dapat diatasi. Selama 50 tahun kita merdeka, pelbagai kaedah diperkenalkan; memperketatkan undang-undang, pelancaran kempen-kempen dan penggubalan akta-akta. Semuanya seperti menemui jalan buntu. Benarlah teori sosial yang diungkapkan oleh seorang penyair:

Demi sesungguhnya, sebuah negara tidak akan terasa sempit kerana penduduknya. Namun akhlak manusia yang akan menjadikannya terasa sempit

Namun, kita yakin, sebenarnya formula sudah ada di hadapan mata namun seperti tidak diendahkan. Islam telah menganjurkan langkah praktikal menurut Al-Quran dan As-Sunnah untuk membentuk masyarakat harmoni. Perubahan perlu dilakukan!

Spekulasi berterusan terhadap pilihanraya umum juga tidak terlepas dari pemerhatian para penggerak dakwah. Pelbagai andaian dibuat terhadap kemungkinan tarikh pilihanraya. Sebagai gerakan mahasiswa, tentu ia menjadi antara topik perbincangan hangat di kalangan ahli. Kita mahu apa yang terbaik untuk rakyat dan juga perjuangan kita. Kita menyokong pemimpin yang boleh membawa aspirasi rakyat, memperjuangkan hak rakyat, menjaga kebajikan rakyat dan yang paling penting ialah memimpin dengan meletakkan hak Allah dan RasulNya melebihi segala-galaNya. Tapi, sebelum berbicara lebih panjang tentang pilihanraya, saya ingin bertanya, adakah anda telah mendaftar sebagai pengundi?

Saudara perwakilah dan pemerhati yang saya hormati sekalian,

Kedudukan Islam di Malaysia… apa pendapat anda? Alhamdulillah, di dasarnya, kita lihat ‘produk-produk’ berteraskan Islam semakin mendapat sambutan; sistem kewangan Islam, dan pengeluaran makanan halal adalah antaranya. Namun, ini tidak cukup untuk mengatakan Islam sudah tertegak di negara kita. Yang lebih penting adalah pengamalan Islam itu sendiri secara menyeluruh. Bukanlah sesuatu yang baik apabila ada pihak yang cuba untuk mentakrif semula kedudukan Islam di Malaysia, cuba untuk menyamatarafkan semua agama dan cuba untuk mempertikaikan ajaran dan hukum di dalam Islam. Namun, saya ingin berpesan supaya kita tidak mudah melenting. Ya! Kita akan terus bangkit mempertahankan Islam. Dan dalam masa yang sama, sudah menjadi tanggungjawab kita untuk memberi kefahaman sebenar mengenai Islam ke dalam masyarakat, samada kepada muslim ataupun yang belum Islam. Kita akan terus memberi pandangan melalui kenyataan akhbar atau penulisan-penulisan di media sebagai usaha untuk memimpin pandangan umum berteraskan kefahaman yang sebenar. Dan kita akan terus menyokong usaha penyatuan ummah.


KAMPUS, MAHASISWA, DAN DAKWAH KAMPUS

Saudara dan saudari pendukung gerakan dakwah sekalian,

Peluang : Pasaran dakwah kita

Setiap tahun, jumlah kemasukan mahasiswa ke IPT-IPT semakin meningkat. Ini menandakan betapa luasnya pasaran dakwah kita sebenarnya.

Kemasukkan Pelajar Tahun 2001-2006

Jadual 4.1 : Bilangan Kemasukan Pelajar Baru ke Institusi Pengajian Tinggi (Tahun 2001 – 2006)

jumlah-siswa-2001-2006.jpg

Jadual 4.2 : Jumlah Pelajar di Institusi Pengajian Tinggi (Tahun 2001 – 2006)

Jumlah kemasukan baru pada tahun 2006 bagi pelajar sijil, diploma, dan sarjana muda sahaja mencecah seramai 266,887!! Betapa ramainya mad’u kita di luar sana. Jika kita lihat pada jadual di atas, dijangka untuk tahun-tahun yang akan datang, jumlah ini akan terus meningkat. Apa maksudnya? Ya! Peluang dakwah juga sebenarnya terus meningkat. Persoalannya, berapa ramai dari mereka yang telah kita santuni? Mari kita fikirkan :

  1. Dari pasaran dakwah yang luas ini, berapa peratus yang sudah kita terokai?
  2. Pasaran dakwah yang luas ini, bagaimana harus kita terokainya?
  3. Mustahilkah semua ini?

Bukan sahaja itu, jumlah IPT dan kolej-kolej juga semakin hari semakin bertambah. Kini, di seluruh negara terdapat :

  • 20 IPTA
  • 27 IPTS (Universiti dan Kolej Universiti)
  • 35 Kolej Komuniti
  • 21 Politeknik
  • 27 Institut Perguruan

* tidak termasuk kampus cawangan

Nah! Dengan fakta nombor ini, bagaimana mahu kita memanfaatkan peluang dakwah?

Peluang : Bajet 2008

Pembentangan belanjawan 2008 yang dibentangkan pada 7 september 2007 memperlihatkan beberapa peruntukan besar untuk mahasiswa di dalam mahupun luar negara. Pengumuman bahawa kerajaan akan meningkatkan jumlah pelajar Ijazah Pertama yang ditaja oleh JPA di universiti tempatan daripada lima ribu setahun kepada sepuluh ribu orang pelajar mulai 2008 juga merupakan satu peluang untuk para aktivis dakwah mahasiswa yang ingin melanjutkan pelajaran. Pertambahan ini juga pasti akan memperlihatkan peningkatan bilangan mahasiswa di dalam negara.

Pengumuman lain yang memberi manfaat untuk para mahasiswa ialah kenaikan elaun sara hidup pelajar di semua peringkat pengajian tinggi tempatan, termasuk kursus persediaan dan kursus bahasa. Kenaikan elaun sara hidup ini juga berkuatkuasa untuk pelajar Malaysia di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Kanada yang mana peningkatan elaun sara hidup dijangka sehingga 97 peratus!

Ini antara beberapa peluang dan perkara yang perlu kita ambil kira dalam perancangan kita sama ada secara individu ataupun organisasi. Adakah dengan peningkatan ini, kita akan menghantar ramai lagi pelajar ke luar negara? Atau kita galakkan ahli belajar di dalam negara?

Cabaran : Mahasiswa Kini

Arus globalisasi nampaknya benar-benar memberi kesan terhadap kehidupan masyarakat Malaysia. Mahasiswa sebagai penerus perjuangan juga tidak terkecuali. Muda-mudi kini disogokkan dengan hiburan melampau. Budaya hedonisme semakin menjadi-jadi di kalangan muda mudi. Golongan mahasiswa yang diklasifikasikan sebagai golongan intelektual juga turut tidak terkecuali. Seakan-akan ketagih dengan ‘dadah ringan’ ini. Prinsip asas hedonisme, “Maximize leisure, minimize pain” menyebabkan mahasiswa lebih memilih untuk berseronok daripada bersakit-sakit menempuh cabaran membina diri, keluarga, agama, dan negara. Adakah di kalangan kita juga ada penyakit ini? Seharusnya tidak…. tapi, ia tidak mustahil.. bukan?

Sifat ‘akuisme’ atau mementingkan diri juga dilihat semakin menebal di kalangan mahasiswa. Budaya berkenalan, membuat kawan baru, dan tegur-menegur seakan semakin pupus. Apabila melihat perkara salah, hendak ditegur, nanti dikatakan menjaga tepi kain orang. Hendak mengajak berbuat baik, nanti dikata alim. Akhirnya, engkau-engkau, aku-aku. Janji hidup bahagia.

Ini antara cabaran sikap yang melanda mahasiswa kini. Antara cabaran lain dalam dunia mahasiswa masa kini dan perlu kita ambil perhatian ialah :

  • Mahasiswa mabuk bercinta sehingga mengabaikan pelajaran dan lebih teruk, sehingga sanggup menggadaikan maruah dan harga diri atas alasan cinta.
  • Mahasiswa terlalu menumpukan kepada akademik tanpa mengambil perhatian terhadap pembinaan ‘nilai tambah’ (added values) di dalam diri.
  • Tidak melihat kepentingan untuk menyumbang ke dalam masyarakat semasa dan selepas tempoh pembelajaran. Kebanyakannya hanya berfikir mengenai kerjaya sendiri.

Ini antara beberapa cabaran yang melanda mahasiswa kini. Mungkin banyak lagi. Ini cabaran dalam usaha kita untuk menggembleng mahasiswa ke arah mencapai misi kita.

Suatu Muhasabah : Dakwah di Kampus

Aktivisme mahasiswa sudah bermula sejak zaman sebelum merdeka lagi. Aktivisme mahasiswa terus rancak selepas penubuhan Universiti Malaya (UM) dengan kemunculan beberapa pertubuhan mahasiswa seperti Persatuan Mahasiswa Islam UM (PMIUM), Persatuan Mahasiswa UM (PMUM), dan Persatuan Bahasa Melayu UM (PBMUM). Pada era awal, mahasiswa begitu terkehadapan dalam membawa suara mahasiswa malahan menjadi jurubicara masyarakat. Aktivisme mahasiswa terus meningkat sehinggakan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) terpaksa digubal pada tahun 1971 untuk mengekangnya. Namun, suara mahasiswa terus bergema sehingga akhirnya pada 3 Disember 1974 tercetusnya demonstrasi paling besar melibatkan kesatuan mahasiswa seluruh negara mengenai isu kelaparan, kemiskinan, dan penyelewengan. Di sepanjang zaman ini, muncul tokoh-tokoh mahasiswa seperti Abdul Wahab, Anwar Ibrahim, Syed Hamid Ali dan Aminudin Baki.

Namun begitu, aktivisme mahasiswa mula lumpuh setelah peristiwa reformasi 1998. AUKU digunakan sepenuhnya untuk melumpuhkan gerakan mahasiswa yang ketika itu bangkit lantang memperjuangkan keadilan. Kebanyakan pertubuhan mahasiswa disenaraihitamkan. Aktivis-aktivis mahasiswa disekat dan ada yang digantung pengajian.

Alhamdulillah, dengan keizinanNya jua, dakwah kampus tidak terus padam. Pasca reformasi 1998 telah menyatukan saf gerakan orang muda yang sebelum itu sukar untuk duduk semeja berbincang. Kesatuan ini telah memberikan impak yang cukup besar ketika pilihanraya 1999 dan merupakan titik mula bagi penyatuan gerakan dakwah di kalangan mahasiswa.

Tahun demi tahun, kelompok mahasiswa yang masih prihatin ini, terus gigih merapati mahasiswa untuk mengajak kembali memahami Islam dan kemudian bersama-sama menyebarkannya. Dan kini, aktivisme mahasiswa bangkit semula dengan cara berbeza. Namun, kita masih merindu-rindukan zaman kebangkitan mahasiswa seperti yang kita biasa dengar dalam sejarah gerakan mahasiswa.

Kini, dakwah kampus mula rancak kembali. Usrah sebagai wasilah utama tarbiyyah menjadi aktiviti mingguan. Tidak ketinggalan, wasilah-wasilah tarbiyyah yang lain seperti daurah, katibah, mukhayyam dan lain-lain. Juga usaha penyebaran pemahaman Islam melalui kuliah-kuliah dan program-program umum yang dilaksanakan oleh pelbagai pertubuhan mahasiswa Islam.

Usaha penyatuan wadah mahasiswa juga kebelakangan ini memperlihatkan tanda positif. Jurang perbezaan wadah perlu kita kecilkan. Sensitiviti antara wadah perlu kita kurangkan. Matlamat kita sama. Cuma cara kita berbeza. Namun, pasti ada titik pertemuan. Ummah ini tercari-cari sinar, jangan kita pula yang mempersulitkannya.

Cukup kita lihat pada ‘diri kita’. Bagaimana pula dengan sasaran dakwah kita? Bagaimana penerimaan mereka? Adakah cara kita masih relevan dengan budaya mahasiswa kini? Adakah kita berjaya berubah sesuai dengan peredaran zaman? Atau kita masih copy and paste usaha-usaha terdahulu?

Tepuk dada tanya iman.

Tidak kita nafikan, kita berada di zaman penuh cabaran. Ada yang mengeluh “mahasiswa kini tidak seperti dulu – berani”, “sekarang susah nak gerak, ada AUKU”, “mahasiswa sekarang hanya suka berhibur”, “pelajar lelaki sekarang susah nak ajak pergi usrah, daurah, katibah”. Kita sudah ditentukan untuk berada di zaman ini dan mari kita bersyukur kerana dipilih berada bersama para pejuang Islam di zaman ini. Tiada guna kita mengeluh. Pilihan yang kita ada sekarang ialah menyumbang kepada kejayaan atau memberi penyelesaian kepada cabaran yang ada. Kita perlu PROAKTIF. Sesungguhnya syurga tidak menunggu kita, kita yang perlu mengejarnya.

Katakanlah (Wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal (At-Taubah : 51)

Langkah ke Hadapan

  • Perkukuhkan Tapak Utama: Mantapkan Sumber Manusia
  • Sinergi Tenaga Kita, Optimakan Sumber yang AdaBercakap soal kerja, memang banyak kerja yang perlu dilaksanakan. Namun kita perlu memahami konsep penting dan segera (important and urgent). Inilah perlunya setiap pimpinan menganalisa kekuatan, kelemahan, peluang serta cabaran yang ada di sekeliling kita. Kenali juga stakeholders kita dalam organisasi. Dengan ini, kita akan mampu merancang dengan lebih strategik. Dahulukan yang lebih utama, dahulukan yang lebih strategik ke arah misi FIDAK kita.

    Ya, kerja besar untuk perubahan besar. Namun, kadangkala kita boleh melakukan kerja kecil untuk hasil yang besar asalkan kita tidak membazir sumber, dan memanfaatkan kekuatan yang kita ada. Non added values dalam gerak kerja kita perlu dikurangkan.

Dakwah mesra mahasiswa

Seiring dengan peredaran zaman, saya tegaskan sekali lagi bahawa entiti mahasiswa (MPP atau yang sewaktu dengannya) perlu mampu dilihat sebagai organisasi mahasiswa yang terus relevan, mempunyai perwatakan yang mantap, serta berdaya saing di zaman penuh cabaran ini. Dakwah kita perlu sampai kepada seluruh mahasiswa dan mampu diterima oleh sasaran dakwah kita yang cukup luas.

Antara inisiatif yang perlu kita usahakan ialah :

  • Memperhebat usaha untuk mendekati masyarakat.

  • Mempelbagaikan kaedah dakwah sesuai dengan pasaran dakwah kita yang berlainan.

  • Menjuarai isu kebajikan mahasiswa khususnya dan masyarakat malaysia secara umumnya.

Berjuang di barisan hadapan! Be independent, Be proactive!

Mahasiswa mempunyai idealisme perjuangan yang tinggi

Seringkali kita mendengar pernyataan ini. Benar atau tidak? Jawapannya ada pada diri kita! Mari kita buktikannya.

MENGGEMBLENG TENAGA MAHASISWA KE ARAH FIKRAH ISLAM DOMINAN ALAM KAMPUS

Share our vision

Kita sedar usaha menggerakkan misi “Fikrah Islam Dominan Alam Kampus” tidak mampu kita laksanakan secara berseorangan. Tugas besar ini bukan hanya untuk didokong oleh segolongan mahasiswa, malahan ia perlu didokong oleh seluruh warga kampus.

Ingin saya tegaskan empat prinsip asas dalam perlaksanaan misi FIDAK iaitu :

  1. Iman dan Ukhuwwah
    • Kita mengajak manusia kembali beriman kepada Allah s.w.t dan RasulNya. Konsep ukhuwwah dan persaudaraan menjadi asas dakwah kita.
  2. Insklusif bukan eksklusif
    • Fikrah Islam adalah untuk semua dan bukan hanya untuk golongan tertentu
  3. Meraikan bukan meminggirkan
    • Kita meraikan setiap sumbangan ke arah kebaikan dan menggalakkan kerjasama dalam usaha ke arah kebaikan asalkan tidak bertentangan dengan al-Quran dan as-Sunnah
  4. Mengiktiraf bukan menafikan (sumbangan organisasi lain)
    • Kita mengiktiraf setiap sumbangan organisasi dakwah dan kesatuan di antara organisasi dakwah perlu diusahakan

Mari kita sama-sama berkongsi dengan seluruh masyarakat, misi FIDAK ini sama ada secara langsung ataupun secara tidak langsung. Warga kampus khususnya mahasiswa perlu digembleng untuk menggerakkan misi FIDAK ini kerana kita percaya misi ini misi mulia, kerana kita yakin dakwah ini untuk semua, kerana kita imani bersama, hanya redha Allah yang menjadi matlamat kita, insya Allah.

Al-Quran dan As-Sunnah sebagai landasan

Saudara dan saudari, sahabat seperjuangan saya sekalian

Landasan matlamat kita sudah jelas. Matlamat yang sedang kita usahakan selama ini dilandaskan dari al-quran dan as-sunnah serta panduan dari perjuangan generasi terawal. Islam yang kita anuti. Islam yang kita banggakan, Islam yang kita imani, kita sematkan di jiwa kita dan kita kongsikan dengan seluruh alam. Makna dan ciri Islam ini kita landaskan secara jelas dan nyata :

  1. Kita yakin bahawa hukum dan ajaran Islam lengkap mancakupi seluruh urusan manusia di dunia dan akhirat. Islam bukan hanya semata-mata ibadat atau kerohanian. Sistem Islam mencakupi aspek pendidikan, kewangan, kekeluargaan, politik, ketenteraan, hubungan kemasyarakatan dan lain-lain aspek kehidupan.

  2. Kita yakin bahawa asas kepada intipati Islam ialah al-Quran dan as-Sunnah. Jika ummah ini berpegang teguh kepada dua sumber ini, pasti kita tidak akan sesat selama-lamanya. Dua sumber ini juga menjadi sumber inspirasi dan bimbingan kita.

  3. Kita yakin bahawa Islam mengajarkan cara hidup yang praktikal. Islam is the way of life. Islam meletakkan dasar-dasar am dalam kehidupan dan membimbing manusia bagaimana mempraktikkannya di dalam kehidupan.

Inilah Islam yang kita banggakan. Mari kita sama-sama pertingkatkan ketaqwaan kita. Mari kita sama-sama kongsikan keindahan Islam ini dengan seluruh masyarakat. Agar manusia kembali semula kepada fitrah.

Genggam masa depan kita

Akhirnya, cabaran dan tanggungjawab ini berada di pundak kita. Tanpa perlu menoleh ke kiri dan kanan, mari kita sendiri yang usahakannya. Untuk mendepani cabaran arus semasa dalam dakwah, mari kita melakukan anjakan minda. Mari kita:

  1. Berfikir dan berusaha untuk berjaya dalam dakwah bukan hanya untuk tidak gagal.

  2. Komited dalam berdakwah, bukan hanya mahu berdakwah.
  3. Berfikiran besar (think big).

  4. Lebih melihat kepada peluang dakwah bukan pada halangan dakwah.

  5. Lebih berani dan kreatif mempromosikanIslam dalam segenap peluang yang Allah kurniakan.

  6. Meluangkan lebih masa mempelajari kisah orang yang berjaya berbanding kisah orang yang gagal.

  7. Sentiasa mahu belajar dan meningkatkan diri dan bukan merasa diri kita sudah ‘cukup pandai’

Setelah berusaha, kuatkanlah pengharapan kepada Allah s.w.t.

Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaran kamu dan bersedialah serta bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya. (Ali Imran : 200)

Apa yang kita harapkan dari semua ini, hanyalah redha Allah s.w.t.

Ayuh kita “Menggembleng Tenaga Mahasiswa Ke Arah Fikrah Islam Dominan Alam Kampus!


Tindakan

Information

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s




%d bloggers like this: