Menjadi Muslim!

28 12 2007

Assalamu’alaikum wa rahmatullah

Salam perjuangan kepada pembaca budiman, entri kali ini adalah revisi atau konsep pemahaman utama yang diulas dari dari buku APA ERTI SAYA MENGANUT ISLAM?

Nasihat utamanya adalah keupayaan menyelesaikan persoalan tersebut hendaklah dijawab pada tindakan, bukan sekadar perkataan dan kalam kosong penghias angan-angan. Tulisan ini dibuat juga dengan kaedah memurnikan 7 Habits of Highly Effective Muslim kendalian moderator laman web Saifulislam.Com.

01. SAYA MESTILAH MUSLIM DARI SEGI AQIDAH

Kenal diri, kenallah Ilahi. Pembaca diajak menyelongkar keimanan agar kenyataan “saya bertuhankan Allah SWT” terlafaz dengan sari pati yang bermakna. Tadabbur zikir pada ayat-ayat maqroo’ah di dalam wahyu, dan tafakkur fikir pada ayat-ayat mandhoorah di dalam bahasa alam, dikemukakan sebagai wasilah membaca mesej Allah kepada kita.

Kamu belum beriman, sehinggalah kamu mengimani imanmu itu atas pilihan, bukan lagi sebuah warisan.

02. SAYA MESTILAH MUSLIM DARI SEGI IBADAH

Hidup ini, apa tujuannya? Kegagalan menjawabnya mengundang hidup yang gelisah menuju binasa. Jangan ditanya kepada manusia hidupnya untuk apa, kerana manusia lahir dengan seribu tanda tanya. Tanyalah Allah, dan Dia memberitahu bahawa “Tidaklah Aku ciptakan Jin dan manusia, melainkan agar mereka itu beribadah memperhambakan diri kepadaku”.

Ibadah adalah wasilah untuk menyemai jiwa hamba. Jiwa hamba yang menjadikan manusia itu mendukung erti hidup pada memberi. Memahami ibadah juga harus pada upaya melihat matlamat ibadah yang dikehendaki syara’ serta the big picture pada struktur hukum agar terserlah rasional dan sistematik ibadah di dalam Islam.

Jangan taassub mengikut, jangan taassub menolak… itulah kata kunci kesejahteraan menjadi mafhum dalam ibadah.

03. SAYA MESTILAH MUSLIM DARI SEGI AKHLAQ

Akhlaq yang terpuji adalah hasil yang dikehendaki dari ritual amalan. Akhlaq bukan etika yang terbit dari kepatuhan kepada peraturan. Akhlaq juga bukan hasil kebiasaan kepada sebuah persekitaran. Tetapi akhlaq adalah kelakuan yang terbit dari kepercayaan. Buat apa yang anda percaya, melaziminya hingga bahasa moden menyebut kelakuan itu sebagai TABIAT (Habit).

03akhlaq01.jpg

Jika mahu menyampaikan Islam ke dunia asing di perantauan ini, Islamkanlah akhlaq agar apa yang ingin disampaikan, telah sedia terserlah sebelum terungkap.

04. SAYA MESTILAH MUSLIM PADA KELUARGA

Manusia makhluk sinergi. Kejadian dirinya secara fitrah bergantung kepada orang lain dan menjadi tempat bergantung orang lain kepada dirinya. Sebelum terjun ke medan utama di gelanggang masyarakat, negara dan dunia, medan pertama menanti untuk kita berperanan sebaiknya, iaitulah keluarga.

Berumah tangga itu adalah sinergi. Namun sinergi itu pula adalah merisikokan kembara dari sesuatu yang jelas kepada kemungkinan-kemungkinan yang tidak diketahui. Akan tetapi, misteri itulah suatu keseronokan dan nikmat kehidupan. Asalkan begin with the end in mind dalam percintaan dan kekeluargaan, digarap dengan penuh kesempurnaan.

Kata kuncinya, jangan merancang hanya ke pelamin, tetapi merancanglah hingga ke lampin!

05. SAYA MESTILAH MAMPU MENGAWAL DIRI

Manusia mudah menjadi hamba kepada dirinya sendiri. Sebelum dia dijajah oleh penjajah dan tentera zalim, dirinya telah terlebih dahulu dijajah oleh sesuatu yang lebih sulit… dijajah nafsu serakah, dijajah hati yang rosak, dijajah minda yang tempang, dijajah DIRI berupa akal, hati dan nafsu. Maka demi sebuah kemerdekaan, dan pada cita-cita hidup untuk Islam, kenalilah akal, hati dan nafsu, serta kaedah membangunkan ketiga-tiga unsur manusiawi yang membentuk sejarah itu… dengan sebaiknya.

05kawaldiri01.jpg

Muliakan akal kerana ia titik pisah antara dirimu dan haiwan ternak. Peliharalah hati, kerana ia titik titah pada perbuatan dan kemahuan. Didiklah nafsu yang ammarah kepada mutmainnah, agar tenang beriman dalam keindahan hidup bersama Tuhan.

06. SAYA MESTILAH MEYAKINI BAHAWA MASA DEPAN ADALAH UNTUK ISLAM

Sungguh sedap lidah menyebut, sungguh manis telinga mendengar. Slogan besar bahawa masa depan hanya mampu dipimpin oleh Islam. Ia kosong, jika menyebutnya tanpa faham dan tanpa usaha. Kuncinya harus pada menyempurnakan tuntutan Syariatullah dan Sunnatullah… seperti Muhammad al-Fatih dan kejayaannya menundukkan Constantinople di akhir era pertengahan. Dukunglah Sunnatullah, dan junjunglah Syariatullah… untuk misi umat akhir zaman memimpin manusia dan kehidupan.

Kata kuncinya, percaya selepas melihat sesuatu, hanyalah ikutan. Tetapi percaya sebelum melihat sesuatu dan bekerja keras untuk melihat apa yang kita percaya, itulah nilai iman dan keyakinan. Yakinlah bahawa masa depan adalah milik Islam, lantas bekerja keraslah untuk melihat apa yang kita percaya!

07. MUSLIM PEDULI KEPADA ISLAM

Apa ertinya menjadi Muslim yang tidak peduli kepada Islam?

ikrar.jpg

Menjawab persoalan apa erti saya menganut Islam, sebahagian daripada jawapannya adalah pada meletakkan diri di landasan kepedulian terhadap persoalan ummah. Setelah menikmati keseronokan menerima, bangkitlah untuk menghayati kemanisan memberi. Berdakwahlah… secara inside-out, iaitu pada mengisi makna kehidupan.

Ayuh berusrah, ayuh berhalaqah. Namun tarbiyah itu adalah coaching, bukannya preaching. Manusiawikan dakwah, kerana dakwah itu adalah untuk mencorakkan manusia dengan acuan Allah.Semoga kesemuanya dapat digarap oleh kita agar mereka terus bangga hidup sebagai Muslim, dan mahu berkongsi keislaman dengan setiap insan yang ditemui dalam kehidupan.

Artikel diambil dari laman Saifulislam.Com

Baca juga:


Tindakan

Information

One response

31 03 2008
rijal05

Salam entry….informative blog

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s




%d bloggers like this: