Garis Panduan Kawal Program Berorientasi SMS Patut Diperketat

14 11 2007


Bismillahir Rahmanir Raheem

Oleh Ibnu Sultan

(Asal di akhbar)

ISU yang sudah lama diperkatakan, tetapi belum ada satu penegasan daripada kerajaan mahupun pihak bertanggungjawab ialah berkaitan pembaziran wang melalui penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk rancangan berbentuk realiti televisyen dan pertandingan atau kuiz menggunakan SMS yang tidak jelas peraturannya.

Dapat diperhatikan sikap ‘murah hati’ rakyat negara ini sanggup berbelanja berbilion ringgit untuk menghantar SMS terutama membabitkan rancangan televisyen berbentuk hiburan yang mana ia trend yang amat membimbangkan sejak kebelakangan ini.

Malah, perkara itu diperkukuhkan dengan kenyataan Ketua Pergerakan Puteri Umno, Datuk Noraini Ahmad pada Perhimpunan Agung Umno, minggu lalu bahawa pengguna telefon bimbit menghantar lebih 11.7 bilion SMS antara Januari hingga Mac lalu, peningkatan 4.3 bilion SMS untuk tempoh sama tahun lalu.

Berdasarkan jumlah pemilik telefon bimbit yang mencecah 20.8 juta orang di negara ini sekarang, secara puratanya seorang pengguna menghantar sejumlah 563 SMS sepanjang tempoh tiga bulan itu atau purata enam SMS sehari.

Senario itu ternyata meresahkan banyak pihak khususnya ibu bapa tatkala ramai yang mengeluh mengenai kenaikan harga barang dan kos sara hidup, tetapi mereka masih mampu berbelanja besar untuk membeli telefon bimbit serta membayar caj SMS untuk perkara kurang berfaedah.

Ini menunjukkan kurangnya kesedaran di kalangan segelintir rakyat Malaysia terutama remaja yang mana terus leka dalam dunia hiburan semata-mata. Mereka sepatutnya sedar bahawa mereka hanya dipergunakan pihak tertentu dan mereka langsung tidak mendapat apa-apapun.

Tidakkah mereka berfikir, daripada menghabiskan wang untuk tujuan itu, lebih baik jika wang itu digunakan untuk pembangunan keluarga mereka sendiri, membeli buku sekolah ataupun untuk perkara kebajikan.

Kita sering terbaca di akhbar tempatan mengenai adanya individu mahupun keluarga yang memerlukan bantuan kewangan untuk meneruskan kehidupan mereka dan meningkatkan kualiti hidup. Inilah masanya pengirim SMS itu membantu golongan tidak bernasib baik.

Jika ditaksirkan bukan sedikit nilai wang ringgit untuk pengiriman 11.7 bilion SMS itu. Sesiapapun boleh mengira nilainya jika kosnya hanya satu sen bagi setiap SMS dihantar, tetapi bayangkan jika 10 sen atau 15 sen setiap pesanan?

Jelas kita berada dalam zon yang cukup selesa menyebabkan sesetengah daripada kita terus leka, tidak peka dan pentingkan diri sendiri kerana langsung tidak menghiraukan kepentingan insan di sekitar kita yang memerlukan bantuan untuk meringankan bebanan mereka.

Bagaimana susahnya untuk mendapatkan sesuap makanan bagi penduduk di Palestin dan Afghanistan yang menjadi pelarian di negara sendiri mahupun negara mundur lain khususnya di Afrika boleh diibaratkan seperti ‘kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang’ bahkan lebih teruk lagi.

Sehubungan itu, memang wajar dengan cadangan Puteri Umno yang mendesak kerajaan mewujudkan garis panduan lebih ketat bagi mengawal stesen televisyen daripada terus mewujudkan program berbentuk hiburan dan peraduan yang berorientasikan SMS.

Kebanyakan rancangan televisyen mewujudkan program yang mengajak penonton termasuk kanak-kanak menghantar SMS. Malah, menurut Ketua Puteri Umno, berdasarkan maklumat diterimanya ramai ibu bapa terkejut menerima bil telefon bimbit bulanan kerana bayaran SMS saja mencecah puluhan, malah ratusan ringgit.

Jelaslah bahawa penyalahgunaan SMS itu perlu dibendung bagi mengelakkan remaja dan kanak-kanak terdedah kepada unsur negatif termasuk penyebaran bahan lucah.

Ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting dan jangan terlalu memanjakan anak tidak bertempat dan beritahu anak ini bahawa tidak semudah disangka untuk mencari nafkah dan pendapatan menampung kehidupan ini.

Di sinilah pentingnya aplikasikan kemewahan yang kita kecapi dengan penderitaan masyarakat yang kurang bernasib baik supaya kehidupan ini lebih dinikmati dan disyukuri.

Mahasiswa selaku tunjang penggerak negara perlu memainkan peranan penting dalam menyampaikan informasi kepada masyarakat dan orang persekitaran kerana mereka sudah didedahkan dengan realiti alam mengenai apa berlaku di seantero dunia. Justeru, gunakan ruang dan peluang yang ada untuk menghadirkan kehidupan berkualiti untuk semua dan jangan pula mereka turut hanyut dalam dunia hiburan dan keduniaan semata-mata.

Harus diingat bahawa kemajuan negara secara berterusan berada di tangan remaja masa kini yang bakal meneruskan kepemimpinan negara masa depan.

Oleh Ibnu Sultan, Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (Karisma), Melaka


Tindakan

Information

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s




%d bloggers like this: